Sunday, May 25, 2008

Rezeki Anak

Beberapa minggu lepas saya menonton Datin Diaries dan salah satu dialog Nasha Aziz (Datin Sally? Nelly? Molly?) dengan Jalaludin Hasan (Datuk Kadir) menyebut perihal anak. Mereka berdua sudah berjanji untuk tidak mahu mendapat anak, kerana ingin menumpukan kepada kerjaya dan perniagaan. Begitulah kira-kiranya.

Apa yang menarik sepanjang saya mengendalikan permainan Cashflow 101 sebelum ini, ada satu pattern yang menarik. Pemain yang dapat anak ramai selalunya akan keluar ke fast track dahulu. Saya tidak tahu kenapa ia jadi begitu. Tidak mungkin kebetulan berlaku sehingga 10 x !

Dalam Islam kita diajar anak merupakan salah satu rezeki dari Allah, walaupun mungkin ia tidak disengajakan (hohoho ) Ia adalah rezeki yang bukan dalam berbentuk wang tunai. Malah, nanti anak-anak “menghabiskan” duit anda pula.

Salah satu dialog spontan salah seorang peserta yang saya ingat sampai sekarang adalah:

“Banyak rupanya duit mak bapak aku dulu habiskan untuk aku rupanya.”

Peserta tersebut berkata begitu sebab apabila pemain mendapat anak, secara automatik perbelanjaan (expenses) bertambah. Ada kad doodads tertentu perlu ditunaikan. Dan yang paling utama, cashflow bulanan anda berkurangan! Hoho. Jadi, sudah tentu ramai yang tidak mahu mendapatkan “anak” seboleh-bolehnya dalam permainan Cashflow.

Walaupun begitu, mereka yang agak “terseksa” kerana kehadiran anak dalam permainan ini pada awalnya selalu keluar lebih awal dari rat race, berbanding peserta yang tidak mendapat anak walaupun seorang. Walaupun tidak berlaku setiap kali permainan, tetapi kekerapan itu ada.

Kenapa ia terjadi? Ia memang sukar untuk dijawab secara tepat.

Pakcik saya yang anaknya 12 orang yang dahulunya hidup keluarga mereka sangat susah, kini seorang jutawan. Walaupun statusnya jutawan segera (pampasan peneroka) tetapi ia tetap rezeki yang datang tidak disangka-sangka. Dan gaya hidupnya tidak pernah berubah menjadi gaya hidup mewah dan membazir . Dia masih meredah hujan dengan motor kapchai untuk menjemput anaknya dari sekolah!

Rezeki anak-anak…

(dipetik dari pakdi.net)



Solat Istikharah

Dari Jabir bin Abdullah ra. meriwayatkan katanya: "Adalah Rasulullah SAW mengajar kami beristikharah pada segala urusan kami seperti baginda mengajar kami surah Al Quran. Baginda bersabda; "Apabila seseorang kamu hendak mengerjakan sesuatu, hendaklah ia bersolat dua rakaat yang selain solat fardhu. Sesudah ia bersolat hendaklah ia memuji Allah, berselawat ke atas nabi dan kemudian membaca doa:

"Wahai Tuhanku! Bahawasanya aku memohon petunjuk kepada Mu tentang mana yang baik buatku menurut ilmu Mu, dan aku memohon kesanggupan kepada Mu dengan qudrat Mu. Aku memohon kepada Mu dari keutamaan Mu Yang Besar, kerana Engkaulah Yang Berkuasa, aku tidak berkuasa, dan Engkaulah Yang Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui, Engkaulah tuhan Yang Maha Mengetahui segala yang ghaib.

"Wahai Tuhan ku! Jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini (disebutkan apa yang dikehendaki) baik untukku dalam agamaku dan penghidupanku dan akibat pekerjaanku dalam masa yang dekat atau lambat, maka takdirkanlah dia untukku dan permudahkanlah, kemudian berikan berkat padanya. Dan jika Engkau mengetahui bahawa pekerjaan ini buruk untukku, terhadap agamaku, penghidupanku dan akibat pekerjaanku dalam masa yang dekat atau lambat, maka palinglah dia daripadaku dan palingkanlah aku daripadanya dan takdirkan kebajikan untukku di mana ia berada, kemudian berilah hatiku meredhainya".

Solat Istikharah ini boleh dilakukan bila-bila masa saja yang dikehendaki, malam atau siang, pagi atau petang asalkan bukan pada waktu yang terlarang. Al Imam An Nawawi berkata; "Sesudah Istikharah seharusnya seseorang itu mengerjakan apa yang dirasakan lebih baik untuk dirinya. Maka seharusnyalah ia tidaklah berpegang kepada ketenangan hatinya yang terbit dari kehendak hawa nafsunya sebelum istikharah."

"Bahkan seharusnya bagi orang yang melakukan Istikharah supaya meninggalkan pilihannya sendiri, sebab kalau demikian bukanlah ia beristikharah kepada Allah, malahan beristikharah kepada nafsunya (kecenderungan hatinya) bahkan mungkin ia tidak bersungguh-sungguh memohon istikharah serta menyerahkan ilmu dan qudrat hanya kepada Allah sahaja. Jika ia benar-benar beristikharah tentulah ia menyerahkan kekuatan dan daya upaya kepada Allah dan melepaskan pilihan dirinya sendiri".

Jika kita telah melaksanakan solat istikharah dengan betul dan sungguh-sungguh, kemudian berdoa sebagaimana yang ditunjuk oleh Rasulullah SAW, maka serahkanlah segalanya kepada Allah SWT.



Kisah Ahmad al-Faqih al-Baghdadi


Beliau pernah berkisah tentang dirinya: Aku pernah diuji dengan kemiskinan pada tahun 219. Harta bendaku habis dan aku benar-benar dalam kelaparan. Keperluan, penderitaan dan kemiskinan pada diriku. Sekiranya padang pasir yg kering itu terus mengerut dan mengecil sehingga hanya menjadi beberapa hasta, nescaya ia sudah menjadi rumahku. Datang suatu hari yang sangat tandus, seolah-olah matahari terbit dari celah-celah bebatuan, bukan dari awan. Kami tidak mempunyai sesuatu untuk mengisi kerongkongan. Yang ada di rumah hanyalah debu dan batu Aku mempunyai seorang isteri dan anak yang kecil. Kami amat sangat lapar, hingga berandai-andai menjadi belalang yang memakan kayu. Laparnya anak kami menambah penderitaan batin ibunya. Aku, isteri dan anakku menjadi tiga orang lapar dengan perut kosong.

Aku berbisik kepada diriku sendiri, " Apabila kami tidak boleh memakan kayu dan batu, maka kami boleh makan dengan harganya". Aku berniat menjual rumah dan pindah dari sana, kepindahanku dari rumah itu seperti keluar dari kulitku. Kepindahan itu bagai kematian. Aku melalui malam seperti orang terluka yang dibawa dari suatu peperangan.

Kemudian aku keluar dalam kegelapan untuk mengerjakan sembahyang Subuh. Selepas sembahyang, aku melihat orang-orang mengangkat tangan mereka, berdoa kepada Allah s.w.t. Lisanku pun berdoa, 'Ya Allah, aku berlindung kepadaMu, jangan sampai kefakiranku menimpa agamaku. Aku meminta sesuatu yang boleh mengelokkan kami dengan taat kepadaMu. Aku meminta kepadaMu keberkatan sikap ridha terhadap ketentuanMu. Aku memohon kekuatan untuk taat dan ridha, wahai Zat Yang Maha Pengasih.'

Kemudian aku duduk merenung keadaanku. Ketika tiba waktu dhuha, aku keluar mencari pembeli rumah. Aku berjalan tanpa tahu ke mana aku pergi. Sebelum begitu jauh aku bertemu dengan Abu Nashr ash-Shayyad. Dulu aku kenal baik dengannya. Aku memanggil, "Wahai Abu Nashr, aku sedang berusaha menjual rumah. Keadaanku sangat buruk. Aku sangat miskin. Kalau boleh, pinjamkan sesuatu yang boleh membuatku bertahan hidup hingga aku boleh menjual rumahku, lalu akan kubayar hutangku." Ia berkata, "Tuan, bawa dulu saputangan ini kepada keluargamu, nanti aku akan menyusulmu." Lalu ia memberiku sebuah saputangan yang berisi dua potong roti bercampur manisan. Ia berkata, "Demi Allah, ia adalah berkat si Syeikh." Aku bertanya, "Syeikh siapa, dan bagaimana ceritanya?"

Abu Nashr berkisah: " Kelmarin aku berdiri di pintu masjid ini. Orang-orang ketika itu sedang pulang dari sembahyang Jumaat. Abu Nashr Bisyr al-Hafi lalu di depanku. Lantas ia bertanya, 'Mengapa kamu ada disini?' Jawabku, 'Di rumah tidak ada tepung, roti, dirham atau sesuatu yang boleh ku jual.' Ia pun berkata, 'Allah adalah tempat meminta. Bawalah jaringmu, dan mari kita pergi ke sungai!' Aku pun membawa jaring dan pergi ke sungai bersamanya. Ketika kami sampai di sungai, ia berkata kepada saya, 'Berwudhuklah, lalu sembahyanglah dua rakaat.' Aku lansung melakukannya. Selepas itu dia berkata lagi, 'Bacalah bismillah, lalu lemparkan jaringmu!' Aku membaca bismillah dan mencampakkan jaringku. Jaring tersebut mengenai sesuatu yang berat. Aku menariknya, tetapi sangat sukar. Aku kemudian berkata kepadanya, 'Bantulah! Aku bimbang jaring ini putus.' Ia datang dan menariknya bersamaku. Tiba-tiba keluar ikan besar yang sangat gemuk, besar dan bagus, yang belum pernah ku lihat sebelum itu. Ia berkata, ' Ambillah dan juallah, lalu wangnya boleh engkau belanjakan untuk memenuhi keperluan keluargamu.' Aku lalu membawa ikan itu tersebut. Aku bertemu dengan seseorang yang membelinya. Kemudian aku belanjakan wangnya untuk keperluan keluargaku. Ketika aku dan mereka makan, aku teringat pada Syeikh itu. Aku berkata kepada diriku bahawa aku mesti memberinya sesuatu. Lalu aku membawa dua potong roti ini dan aku sisipkan di antara keduanya manisan ini. Aku datangi dia dan ku ketuk pintu rumahnya. Ia bertanya, 'Siapa?' Aku menjawab, 'Abu Nashr!' Ia berkata, 'Bukalah dan letakkan yang engkau bawa di ruang depan, lalu masuklah ke sini!' Aku pun masuk dan ku ceritakan kepadanya apa yang telah aku lakukan. Ia berkata, 'Segala puji bagi Allah atas semua itu!' Aku berkata, "Aku telah menyiapkan sesuatu untuk di rumah. Mereka telah makan, demikian juga aku. Aku masih memiliki dua potong roti serta manisan.' Ia berkata, 'Wahai Abu Nashr! Sekiranya itu kita makan sendiri, ikan tadi tidak akan keluar! Bawalah itu untukmu dan keluargamu!'

Aku sangat lapar, yang sekiranya aku mendapat sepotong roti, aku anggap ia sebagai hidangan yang turun dari langit. Tetapi ucapan Syeikh tentang ikan, sebagaimana yang diceritakan Abu Nashr, itu membuatkanku benar-benar kenyang, bukan kenyang duniawi. Sepertinya, dengan mendengar ucapan itu, aku telah memakan salah satu buah syurga. Aku mengambil dua potong roti itu dan kukatakan, "Atas berkat rahmat Allah," Lalu aku pulang ke rumah. Di jalan aku berjumpa dengan seorang wanita bersama anak kecil. Wanita itu melihat saputangan itu dan berkata, "Wahai Tuan, anak yatim ini lapar. Ia tidak kuat lagi. Berilah makan padanya, mudah-mudahan Allah mengasihimu!" Anak itu memandangku dengan pandangan yang tidak boleh kulupakan. Terbayang padaku bahawa syurga akan turun ke bumi dan terhampar bagi orang yang membuat kenyang anak kecil itu dan ibunya. Orang-orang lain seolah-olah buta, tidak boleh melihatnya. Mereka melaluinya begitu sahaja, seperti kaldai melalui istana raja.

Aku teringat pada isteri dan anakku. Mereka berdua lapar sejak kelmarin. Namun aku tidak begitu hiba kepada mereka. Wanita dan anaknya inilah yang membuatku hiba. Aku pun memberi apa yang ada ditanganku untuk wanita itu sambil berujar, "Ambillah, dan beri anakmu makan. Demi Allah, dirumahku ada yang lebih memerlukan kepada makanan ini. Kalau bukan kerana miskin, aku sudah tentu akan membantumu." Wanita itu tidak kuasa menahan tangisnya, sedang wajah si anak berseri-seri. Aku bergumam: Aku boleh menahan lapar demi orang lain jika tidak ada makanan. Abu Bakar pun demikian, begitu juga Ibnu Umar, dan beberapa orang yang telah lalu. Tetapi wanita dan anak ini, apakah mereka juga mempunyai kemampuan seperti itu? Aku pun berjalan dengan lemah dan payah. Aku ingat perkataan Syeikh tadi, "Jika itu kita makan sendiri, nescaya ikan tersebut tidak akan keluar." Aku renungkan ucapan itu. Aku sibuk memikirkan ertinya. Aku sandarkan tubuhku pada tembok itu sambil berfikir bagaimana menjual rumah itu.

Ketika aku dalam keadaan seperti itu, Abu Nashr ash-Shayyad menghampiriku dengan wajah riang. Ia berkata, "Wahai Abu Muhammad, mengapa engkau duduk di sini, padahal di rumahmu terdapat kebaikan dan harta yang melimpah?" Aku berkata' "Subhanallah! Dari mana keluar ikan itu, wahai Abu Nashr?"

Ia pun berkisah: "Ketika aku dalam perjalanan menuju rumahmu membawa makanan dan beberapa dirham yang akan aku pinjamkan untukmu, tiba-tiba seorang lelaki yang bertanya tentang rumah ayahmu atau salah seorang keluarganya. Orang itu membawa banyak bawaan. Aku berkata kepadanya, 'Akan ku tunjukkan padamu.' Kami lalu berjalan menuju rumahmu sambil aku bertanya kepadanya tentang khabar dan keperluannya pada ayahmu. Ia menjawab bahawa ia adalah peniaga yang berasal dari Basrah. Dulu, tiga puluh tahun lalu, ayahmu pernah meninggalkan harta padanya. Kemudian peniaga itu muflis dan hartanya hancur. Lantas ia meninggalkan Basrah dan pergi ke Khurasan. Usahanya disana berjalan baik dan lancar. Ia lalu kembali ke Basrah dan ingin membalas budi. Justeru ia datang kepadamu dengan membawa harta keuntungan selama tiga puluh tahun. Selain itu, ia juga membawa pelbagai hadiah."

Aku segera pulang. Di sana ku dapati harta yang banyak dan keadaan yang begitu indah. Aku berkata, "Benar ucapan Syeikh itu: Jika kita makan sendiri, ikan itu tidak akan keluar." Sekiranya orang itu tidak bertemu dengan Abu Nashr di jalan pada hari ini dan saat ini, nescaya ia takkan mengetahui rumahku. Ayahku orang yang tidak terkenal ketika hidupnya, lebih-lebih lagi sekarang, ketika dia sudah meninggal dunia dua puluh tahun yang lalu.

Aku bersumpah akan melihat bentuk kesyukuranku pada Allah atas nikmat tersebut. Aku hanya ingin mencari wanita miskin dan anaknya tadi. Aku akan mencukupi dan memberi rezeki kepada mereka. Aku juga akan berniaga dengan harta itu. Aku akan mendapat keuntungan dari harta itu dengan kebaikan dan perbuatan ihsan yang ku lakukan. Dan keuntungan itu akan terus bertambah sehingga aku menjadi kaya.

Sepertinya aku kagum dengan diriku. Aku senang kerana aku telah mengisi catatan malaikat dengan kebaikan. Aku berharap boleh tercatat di sisi Allah sebagai orang yang soleh.

Pada suatu malam, aku bermimpi bahawa pada hari kiamat aku dan semua makhluk datang berbondong-bondong. Timbangan (mizan) telah diletakkan. Aku pun dipanggil untuk ditimbang amal perbuatanku. Kejahatan-kejahatanku diletakkan di satu segi, dan amal baikku di segi yang lain. Ternyata amal kebaikanku begitu ringan, sementara kejahatanku jauh lebih berat, seolah-olah gunung batu yang besar berbanding secarik kertas. lalu mereka (malaikat) meletakkan kebaikan demi kebaikan yang ku perbuat. Tetapi dalam setiap kebaikan yang ku lakukan terkandung syahwat yang tersembunyi dalam jiwa, seperti riya, sombong, ingin dipuji, dan lain-lain. Semuanya tidak ada yang bersih. Segala hujahku tidak ada gunanya, kerana hujah yang sesungguhnya adalah apa yang dibuktikan oleh mizan. Mizan itu menunjukkan bahawa aku seorang yang hampa.

Aku mendengar suara, "Apa masih ada tertinggal?" Dijawab, "Ya masih ada." Aku pun melihat apa yang masih tersisa. Ternyata itu adalah dua potong roti yang ku berikan pada wanita miskin dan anaknya itu. Aku yakin bahawa aku akan binasa, kerana ketika aku menyedekahkan seratus dinar pun tidak ada gunanya.

Dua potong roti itu diletakkan, dan aku dengar suara yang mengatakan, "Setengah pahalanya terbang ke mizan Abu Nashr asy-Shayyad." Aku melihat segi timbangan tersebut telah turun kerana bertambah berat.

Aku mendengar lagi suara, "Masih ada yang tersisa?" Dijawab, "Yang tinggal hanya ini." Aku melihat apa yang tersisa. Ternyata itu adalah laparnya isteri dan anakku pada hari itu. Rasa lapar itu diletakkan di mizan tersebut, hingga menurunkan lagi segi timbangan kebaikan dan mengangkat segi yang lain hingga menjadi seimbang. Mizan itu terus berada dalam keadaan tersebut. Aku pun berada antara binasa dan selamat.

Aku mendengar lagi suara "Masih ada yang tersisa?" Dijawab, 'Yang tersisa ini." Ketika aku lihat, ternyata itu adalah air mata wanita miskin saat menangis kerana aku lebih mengutamakan dia dan anaknya. Air mata itu pun diletakkan di mizan, tiba-tiba air mata itu mengembang dan meninggi naik seperti ombak lautan. Ternyata ada ikan muncul dari ombak itu. Ikan itu adalah roh air mata ikan tersebut. Ikan itu begitu besar. Sisi timbangan kebaikan itu pun menjadi berat, hingga aku mendengar suara berkata, "Ia selamat."

Aku berseru keras, "Jika ku makan sendiri, tentu ikan itu tidak akan keluar."

Berusahalah untuk menyerupai mereka jika tidak boleh menyamai. Menyerupai orang-orang mulia adalah kemenangan.

Sumber text: dipetik dari Hikmah Zakat - Ahmad Syafi'i Khatib m.s. 194-201
Sumber imej: news.bbc.co.uk

Langkah Pertama Jadi Jutawan


Sikap.

Sekiranya anda merasakan membayar kira-kira 1/3 daripada gaji anda untuk bayaran installment sebuah kereta adalah OK tetapi pada masa yang sama anda merasakan menyimpan 1/3 daripada keseluruhan pendapatan bulanan anda adalah membebankan, maka anda sedang mencipta sel kanser kewangan anda sendiri.

Sekiranya anda sanggup berbelanja RM 100 sebulan untuk topup atau bil telefon dan merasakan ia adalah jumlah yang OK, tetapi pada masa yang sama anda merasakan ia adalah jumlah yang besar untuk membeli buku-buku kewangan atau ke seminar-seminar kewangan, maka anda mencepatkan lagi pertumbuhan sel kanser kewangan anda.

Sekiranya anda sanggup menunggu 5 tahun untuk mendapatkan segulung ijazah, tetapi anda tidak boleh menunggu 5 tahun lagi untuk membina asas kewangan yang kukuh, maka anda sekali lagi memberi makanan kepada sel kanser kewangan yang sedia ada.

Anda hanya bermula dengan perubahan sikap.

Kalau anda tahu yang anda memang tidak pernah cukup duit setiap bulan, maka anda perlu ubah cara pengurusan kewangan anda. Anda perlu belajar cara menguruskan kewangan dengan betul. Kalau anda sekadar mengeluh dan tidak berbuat apa-apa, maka anda tidak akan mengubah apa-apa langsung.

Insanity: doing the same thing over and over again and expecting different results.

(Albert Einstein)









Hari pertama dalam blog

Idea untuk menulis blog tercetus sejak beberapa lama. Namun hanya hari ini dapat dilaksanakan. Akan aku masukkan pelbagai idea kisah menarik dan pelbagai idea atau cerita menarik mengenai diriku. More to go...